Tempahan Iklan (Lihat Size)

Tempahan Iklan (Lihat Size)

Rabu, 2 Jun 2010

PLPDT Mengecam Tindakan Ganas Israel

0 ulasan
Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) mengecam sekeras-kerasnya terhadap serangan yang dilakukan tentera Israel terhadap konvoi kapal kemanusiaan Freedom Flotilla yang menyampaikan misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

PLPDT memandang serius kejadian yang berlaku terhadap pasukan keselamatan dengan menganggap tindakan yang dilakukan tentera Israel sebagai satu tindakan yang biadap dan tidak bertamaddun serta mengenepikan hak asasi kemanusiaan antarabangsa.

Para aktivis dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan juga turut dituduh sebagai penyeludup yang membawa masuk senjata api kepada penduduk Palestin. Kenyataan yang dikeluarkan Israel ternyata hanya tuduhan berbaur fitnah yang sengaja dilontarkan untuk menutup segala tindakan ganas rejim tidak bertanggungjawab mereka.

PLPDT menyatakan pendirian untuk terus mengecam tindakan Israel yang dilakukan ke atas konvoi kemanusiaan Freedom Flotilla yang mengorbankan seramai 16 orang.

Walaupun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat sama dalam misi kemanusiaan ini, namun tindakan biadap yang dilakukan ke aats pasukan keamanan ini ternyata membelakangi hak asasi kemanusiaan.

PLPDT menuntut agar satu sidang khas parlimen diadakan bagi membincangkan tragedi yang berlaku dan menuntut tindakan sewajarnya dari kerajaan Malaysia agar segera mencari penyelesaian terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Israel.

PLPDT juga menggesa agar rakyat Malaysia nekad untuk untuk memboikot segala bentuk perniagaan, barangan keperluan dan produk yang dikeluarkan oleh Yahudi Israel.



- Presiden PLPDT

Rabu, 17 Mac 2010

Selamat Pengantin Baru Suhail & Isteri

0 ulasan
Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya pula Allah menciptakan pasangannya, dan dari keduanya dikembangkan laki-laki dan wanita-wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu." (An-Nisa': 1)

Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) merakamkan ucapan tahniah kepada pasangan bahagia yang baharu saja mendirikan rumahtangga saudara Ahmad Suhail bin Zakaria dan isteri.

Saudara Ahmad Suhail merupakan lepasan pelajar Darul Taqwa dan banyak menyumbangkan tenaga untuk PLPDT. Beliau juga banyak menyumbangkan jasa untuk jamaah Islam di Terengganu dengan mengambil pendekatan politik dan pertubuhan pelajar.

Masjid ar-Raudhah, Kem Tentera Udara, Bukit Puteri, menjadi pilihan bagi pasangan ini untuk melangsungkan lafaz keramat (ijab qabul) ikrar setia hidup bersama.

Upacara aqad nikah ini dilaksanakan oleh Ustaz Mohd Zin Hassan. Sementara majlis kenduri pula diadakan di Kampung Padang Luas.

Kehadiran ramai pimpinan dan rakan - rakan dari PLPDT mahupun teman - teman lain membuktikan kemeriahan majlis ini berjaya diterapkan melalui kerjasama dan muafakat keseluruhannya.

بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير

Isnin, 8 Mac 2010

Terima Kasih Semua - Abd Rahman Awang

0 ulasan
Rehlah Kepimpinan dan Hari Keluarga PLPDT (RK&HK 2010) berlangsung dengan jayanya. Pengarah RK&HK, Ustaz Abd Rahman Awang dalam majlis tersebut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua peserta yang terlibat, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang telah berkorban masa dan tenaga bagi memastikan program ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dan tidak lupa juga kepada dermawan yang menghulurkan bantuan"

Peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang perjalanan RK&HK, antaranya aktiviti lasak, BBQ, sukaneka dan muhasabah.

RK&HK mencatat penyertaan melebihi sasaran, segala usaha giat dijalankan oleh PLPDT bagi memastikan setiap informasi sampai ke pengetahuan ahli. Dengan adanya kerjasama daripada semua pihak, PLPDT yakin dapat meneruskan perjuangan ini dengan lebih teguh dan unggul.

Kelemahan demi kelemahan perlu dilalui PLPDT sebagai proses kematangan dan lebih penting dapat menempatkan kewibawaan organisasi ini di hati setiap ahli. Berbekalkan pengalaman yang diperolehi daripada setiap kepimpinan, ianya akan dicurahkan untuk melancarkan lagi perjalanan PLPDT.

Nyata usaha yang dirancang dan dicanangkan selama ini membuahkan hasil bilamana kesanggupan di kalangan ahli yang sentiasa memberikan sokongan sehingga PLPDT dapat bernafas kembali setelah 2 tahun menyepi.

Diharapkan PLPDT akan terus menempatkan organisasi ini di setiap pengetahuan ahli agar ianya bukan hanya sebuah pertubuhan islam, bahkan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik, membentuk dan melahirkan insan yang berani memperjuangkan agama Islam.

Tingkatkan Jumlah Wakil PLPDT di Sekolah dan IPT

0 ulasan
Sebanyak 25 ekor ayam telah dipanggang, juadah mee tom yam juga turut disediakan untuk peserta RK&HK 2010. Biarpun majlis ini agak sederhana, namun PLPDT tetap memandang serius tentang apa yang diutarakan ahli di majlis muhasabah.

Jumlah penyertaan ahli ke setiap prograam PLPDT sememangnya menjadi persoalan sejauh manakah PLPDT mampu mengumpulkan sejumlah besar ahli yang kini sedang berada di bangku sekolah menengah dan juga IPT.

Hal ini mendapat perhatian ahli PLPDT untuk melihat organisasi lebih 'sampai' di setiap sekolah mahupun IPT. Cadangan daripada ahli agar PLPDT menambahkan wakil di sekolah dan IPT di seluruh Malaysia dilihat mampu membawa PLPDT untuk sampai ke segenap institusi pengajian.

PLPDT berjaya mendapatkan semula sentuhannya selepas 2 tahun bergerak dalam keadaan lemah. Cadangan yang diuatarakan ahli sememangnya perlu diambil perhatian sewajarnya oleh PLPDT agar perjalanan persatuan ini tidak lagi dilihat bergerak setempat bahkan menyelinap di setiap penjuru institusi pengajian.

Malam Muhasabah RK&HK PLPDT

0 ulasan
Kepimpinan yang berteraskan kepada konsep saling menegur dan menerima teguran adalah dituntut di dalam Islam. Sikap menegur perlulah dibudayakan oleh semua pihak dalam memperbaiki setiap perjalanan sesebuah organisasi dan jamaah.

RK&HK meneruskan lagi aktiviti dengan sebuah slot muhasabah. Terdahulu, pimpinan PLPDT memberikan penerangan berhubung objektif dan misi PLPDT dan ta'aruf ringkas exco.

Antara perkara yang dibangkitkan peserta ialah statistik penyertaan guru-guru MDT yang kurang ramai. Perkara ini dijelaskan oleh PLPDT dengan tugasan yang lebih mustahak daripada pihak guru untuk hadir. Namun PLPDT akan terus mengusahakan agar penyertaan guru-guru MDT dapat ditingkatkan lagi di masa akan datang, di samping itu juga menggiatkan lagi usaha untuk mendapatkan sponsor untuk meringankan penyertaan guru ke program PLPDT.

Selasa, 2 Mac 2010

Keindahan Tasik Seindah Ukhuwwah

0 ulasan
Di kalangan sejumlah besar peserta RK&HK, bermandi-manda di tasik dan menikmati kedinginan air adalah aktiviti wajib bagi sesiapa jua yang menyertai rehlah ini.

Melihat kepada sambutan yang diberi oleh peserta dalam kebanyakan aktiviti yang diadakan, PLPDT sememangnya mengharapkan hasil pulangan yang terbaik dan bermanfaat untuk peserta. Justeru antara aktiviti yang diadakan ini adalah berbentuk santai dan bermandi-manda menikmati keindahan ciptaan Allah.

Keindahan tasik di Lata Belatan bukan hanya untuk sedap mata memandang, bahkan ianya muhasabah kepada kesemua ahli yang terlibat, bermula dari pimpinan atasan hinggalah kepada ahli bawahan.

Kedamaian ini perlulah diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan bagi setiap lepasan pelajar Darul Taqwa. Konsep ukhuwwah ini tidak ubah sebagaimana ketenangan tasik yang menjadi tarikan kepada setiap peserta. Namun yang lebih dari itu perlulah difirkan agar setiap ahli dapat memanfaatkan masa ini dengan sewajarnya.

*(Gambar) peserta RK&HK bermandi-manda

Solat Tahajjud Mengisi RK&HK

0 ulasan
Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) membawa hasrat untuk menjadikan RK&HK ini sebagai institusi tarbiyyah dan memupuk muafakat gandingan berjamaah bagi setiap ahli dan peserta.

Dalam kesunyian malam dan kesejukan hutan Lata Belatan, pastinya merupakan saat paling indah untuk merehatkan badan dan memejamkan mata. Namun bagi peserta, kesunyian dan kesejukan bukanlah penghalang untuk bangun mengerjakan ibadah solat tahajjud yang dirancangkan di dalam RK&HK.

Program bercorak kesoronokan ini tidak mengabaikan aspek ubudiyyah setiap peserta, ia merangkumi segala keperluan kehidupan dalam misi menuju keredhaan Allah s.w.t.

Selain itu, kuliah subuh juga turut disampaikan sebagai penerus mengulit dendangan malam bersama alunan ibadah dan menjadi saksi kepada alam bahawa kemunculan peserta RK&HK bukan sekadar retorik.

* (Gambar) Peserta RK&HK khusyuk mengerjakan solat tahajjud

RK&HK PLPDT Capai Sasaran

0 ulasan
Program Rehlah Kepimpinan & Hari Keluarga (RK&HK) telah berjaya diadakan di Lata Belatan pada 19 & 20 Februari lalu.

PLPDT, melalui kerjasama daripada seluruh ahli berjaya mengumpul lebih 60 peserta yang terdiri daripada muslimin dan muslimat.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, antara kejayaan yang menyumbang kepada penyertaan ramai ini adalah promosi berterusan daripada jawatankuasa dan sahabat-sahabat dari pelbagai tempat.

Selain itu kutipan derma juga dilakukan untuk menampung sedikit-sebanyak pembiayaan program ini. Walaupun tarikh penetapan program ini berlaku beberapa kali perubahan, namun ahli PLPDT tetap memberikan kerjasama dan bersabar dengan sedikit kelemahan yang ada.

Bermula jam 2.30 petang (Jumaat), ahli PLPDT telah membanjiri perkarangan Madrasah Darul Taqwa yang merupakan lokasi berkumpul sebelum bertolak ke Lata Belatan.

Rata-rata ahli PLPDT bersemangat untuk mengikuti RK&HK sebagai kenangan untuk tahun baru 2010, kesanggupan untuk menyertai program ini adalah hadiah paling bermakna dalam memngangkat martabat ukhuwwah Islamiah dalam konteks hidup berjamaah.

*Gambar - Abd Rahman Awang selaku Pengarah RK&HK menyampaikan taklimat sebelum berangkat ke Lata Belatan


Ahad, 28 Februari 2010

Adun Bukit Tunggal Rasmikan Upacara Penutup

0 ulasan
Hari Sukan MDT berakhir dengan penyampaian hadiah oleh YB Dr. Hj Alias Razak (Adun Bukit Tunggal).

Beliau menyampaikan hadiah kepada para peserta yang telah berjaya membuktikan kesungguhan dan iltizam membawa kemenangan bagi setiap acara yang dianjurkan. Majlis berakhir pada jam 12.00 tengahari dengan penuh meriah.

PLPDT juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan majlis ini. Tahniah kepada semua, semoga segala amal yang dicurahkan menjadi titik tolak untuk memantpkan lagi barisan jamaah Islam.

Sabtu, 27 Februari 2010

Rumah Hijau Juara Hari Sukan MDT

0 ulasan
Juara Hari Sukan MDT telah disandang oleh kumpulan Rumah Hijau. Ketuanya Ustaz Taib telah menerima kemenangan ini dengan segala usaha dan semangat yang telah dizahirkan oleh beliau dan para pelajar dari Rumah Hijau.

Hari Sukan MDT bukan sahaja menghimpunkan penyertaan para pelajar, bahkan turut dijayakan oleh guru-guru, ibu-bapa dan lepasan pelajar MDT.

Bukti kemenangan adalah bukti usaha yang gigih dan semangat berkumpulan dalam memburu kejuaraan, namun apa yang lebih penting dari itu adalah semangat berukhuwwah dan sikap berjamaah pasti membawa kebaikan buat semua.

Ahli PLPDT Hulurkan Kerjasama - Jailani Mamat

0 ulasan
Kerjasama daripada ahli PLPDT sangat penting bagi melancarkan segala persiapan dan perjalanan Hari Sukan MDT. Hal ini diakui oleh Setiausaha PLPDT, Ustaz Jailani Mamat melalui sebuah perjumpaan yang diadakan baru-baru ini.

"Kita sememangnya memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat lepasan Darul Taqwa, memandangkan majlis ini memerlukan tenaga kerja yang ramai terutama dari golongan muda. Alhamdulillah lepasan pelajar Darul Taqwa sanggup hadir bagi menjayakan Hari Sukan MDT"

Beliau juga turut menjelaskan persiapan awal sebelum majlis bermula juga dihadiri di kalangan warga lepasan MDT.

"Persiapan sehari lebih awal perlu dibuat, ini kerana persiapan padang agak penting diuruskan dengan lebih awal, seramai 20 orang hadir memberi kerjasama pada hari majlis diadakan, manakala 5 orang hadir untuk persiapan padang. Walaupun cuaca agak panas terik, namun kita mengharapkan lebih ramai penyertaan tenaga kerja dari lepasan MDT pada majlis -majlis akan datang."

Ibu-Bapa Hangatkan Hari Sukan MDT

0 ulasan
Hari Sukan MDT terus meriah dengan pelbagai ragam dan aksi yang dapat dilihat. Menariknya, selain guru dan pelajar, ibu-bapa para pelajar juga turut diberikan ruang untuk bersama menghangatkan Hari Sukan MDT.

Sebagaimana para guru, ibu-bapa juga turut serta dalam acara yang sama iaitu melontar bola dan menendang bola.

Peranan ibu-bapa amat penting bagi pembentukkan para pelajar. Pendidikan bukan hanya di bilik darjah atau di rumah, bahkan di padang juga berupaya mendidik sikap anak-anak untuk menjadi manusia yang berguna dan berjamaah dalam aspek kehidupan.

Kehadiran dan kerjasama ibu-bapa ke majlis ini menjadi bonus dan kenangan bagi pelajar MDT.

Guru MDT Buktikan Wibawa

0 ulasan
Hari Sukan Madrasah Darul Taqwa (MDT) turut dihiasi dengan penyertaan guru ke dalam majlis tersebut.

Peranan guru sebagai pendidik bukan sahaja diaplikasikan di dalam bilik darjah, bahkan melalui acara sukaneka juga berjaya membawa mereka ke landasan yang lebih luas dalam dunia pendidikan.

Acara melontar bola ke dalam botol dan menendang bola ke dalam gol sudah cukup untuk merncakkan lagi kehadiran guru begitu bermakna dalam aktiviti ini. Aksi guru MDT menjadi perhatian ramai dalam setiap acara yang diadakan.

Penyertaan guru melengkapkan lagi kemeriahan Hari Sukan MDT.


Yaumul Riadhah MDT Meriah

0 ulasan
Setiap tahun, sukaneka merupakan acara rutin bagi pihak Madrasah Darul Taqwa (MDT), acara berbentuk kekeluargaan ini diadakan bertujuan membentuk pelajar menjadi lebih cergas dan cerdas.

Pada tahun ini, MDT sekali lagi mengadakan majlis yang sama (Hari Sukan / Yaumul Riadhah) pada 13 Februari lalu. Dengan kehadiran para pelajar seawal jam 7.30 pagi membuktikan semangat mereka merentasi segalanya.

Pelbagai acara menarik mewarnai sepanjang Hari Sukan MDT diadakan, antaranya acara lari berhalangan, lari dalam guni dan mengail ikan.

Semua pelajar MDT memberikan kerjasama yang baik dalam setiap acara yang dianjurkan, rata-rata berpuas hati dengan kemenangan yang diperolehi dari setiap acara yang dipertandingkan.

Sabtu, 6 Februari 2010

Hari Sukan Madrasah Darul Taqwa

0 ulasan
Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Madrasah Darul Taqwa akan menganjurkan program 'Hari Sukan Darul Taqwa' bertempat di Madrasah Darul Taqwa (MDT), Batu Enam.

Acara sukan ini akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Februari 2010 yang akan disertai oleh pelajar sekolah Darul Taqwa dan akan disusuli sukan khas bersama guru-guru MDT.

Antara acara yang bakal menarik perhatian peserta ialah lari dalam guni, futsal, bowling buah kelapa dan berakit atas darat.

Pihak urusetia sukan juga memerlukan petugas untuk membantu menyelaraskan program ini dan terbuka kepada semua lepasan pelajar Darul Taqwa yang berkelapangan. Seramai 20 petugas terdiri daripada muslimin dan muslimat diperlukan untuk menjayakan majlis ini. Petugas sukarelawan juga dikehendaki berkumpul di Madrasah Darul Taqwa pada hari Khamis, 11 Februari 2010 pada jam 5.00 petang. Perjumpaan ini bertujuan untuk memastikan segala persiapan dan pembahagian tugas dapat dilaksanakan sebaik mungkin menjelang Hari Sukan darul Taqwa.


 

@PLPDT 2009/2010 | Semua Hakcipta Adalah Terpelihara | Dikelolakan Oleh Editorial Blog Dengan Kerjasama Urusetia Penerangan PLPDT