Tempahan Iklan (Lihat Size)

Tempahan Iklan (Lihat Size)

Rabu, 17 Mac 2010

Selamat Pengantin Baru Suhail & Isteri

0 ulasan
Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya pula Allah menciptakan pasangannya, dan dari keduanya dikembangkan laki-laki dan wanita-wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu." (An-Nisa': 1)

Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) merakamkan ucapan tahniah kepada pasangan bahagia yang baharu saja mendirikan rumahtangga saudara Ahmad Suhail bin Zakaria dan isteri.

Saudara Ahmad Suhail merupakan lepasan pelajar Darul Taqwa dan banyak menyumbangkan tenaga untuk PLPDT. Beliau juga banyak menyumbangkan jasa untuk jamaah Islam di Terengganu dengan mengambil pendekatan politik dan pertubuhan pelajar.

Masjid ar-Raudhah, Kem Tentera Udara, Bukit Puteri, menjadi pilihan bagi pasangan ini untuk melangsungkan lafaz keramat (ijab qabul) ikrar setia hidup bersama.

Upacara aqad nikah ini dilaksanakan oleh Ustaz Mohd Zin Hassan. Sementara majlis kenduri pula diadakan di Kampung Padang Luas.

Kehadiran ramai pimpinan dan rakan - rakan dari PLPDT mahupun teman - teman lain membuktikan kemeriahan majlis ini berjaya diterapkan melalui kerjasama dan muafakat keseluruhannya.

بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير

Isnin, 8 Mac 2010

Terima Kasih Semua - Abd Rahman Awang

0 ulasan
Rehlah Kepimpinan dan Hari Keluarga PLPDT (RK&HK 2010) berlangsung dengan jayanya. Pengarah RK&HK, Ustaz Abd Rahman Awang dalam majlis tersebut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua peserta yang terlibat, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang telah berkorban masa dan tenaga bagi memastikan program ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dan tidak lupa juga kepada dermawan yang menghulurkan bantuan"

Peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang perjalanan RK&HK, antaranya aktiviti lasak, BBQ, sukaneka dan muhasabah.

RK&HK mencatat penyertaan melebihi sasaran, segala usaha giat dijalankan oleh PLPDT bagi memastikan setiap informasi sampai ke pengetahuan ahli. Dengan adanya kerjasama daripada semua pihak, PLPDT yakin dapat meneruskan perjuangan ini dengan lebih teguh dan unggul.

Kelemahan demi kelemahan perlu dilalui PLPDT sebagai proses kematangan dan lebih penting dapat menempatkan kewibawaan organisasi ini di hati setiap ahli. Berbekalkan pengalaman yang diperolehi daripada setiap kepimpinan, ianya akan dicurahkan untuk melancarkan lagi perjalanan PLPDT.

Nyata usaha yang dirancang dan dicanangkan selama ini membuahkan hasil bilamana kesanggupan di kalangan ahli yang sentiasa memberikan sokongan sehingga PLPDT dapat bernafas kembali setelah 2 tahun menyepi.

Diharapkan PLPDT akan terus menempatkan organisasi ini di setiap pengetahuan ahli agar ianya bukan hanya sebuah pertubuhan islam, bahkan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik, membentuk dan melahirkan insan yang berani memperjuangkan agama Islam.

Tingkatkan Jumlah Wakil PLPDT di Sekolah dan IPT

0 ulasan
Sebanyak 25 ekor ayam telah dipanggang, juadah mee tom yam juga turut disediakan untuk peserta RK&HK 2010. Biarpun majlis ini agak sederhana, namun PLPDT tetap memandang serius tentang apa yang diutarakan ahli di majlis muhasabah.

Jumlah penyertaan ahli ke setiap prograam PLPDT sememangnya menjadi persoalan sejauh manakah PLPDT mampu mengumpulkan sejumlah besar ahli yang kini sedang berada di bangku sekolah menengah dan juga IPT.

Hal ini mendapat perhatian ahli PLPDT untuk melihat organisasi lebih 'sampai' di setiap sekolah mahupun IPT. Cadangan daripada ahli agar PLPDT menambahkan wakil di sekolah dan IPT di seluruh Malaysia dilihat mampu membawa PLPDT untuk sampai ke segenap institusi pengajian.

PLPDT berjaya mendapatkan semula sentuhannya selepas 2 tahun bergerak dalam keadaan lemah. Cadangan yang diuatarakan ahli sememangnya perlu diambil perhatian sewajarnya oleh PLPDT agar perjalanan persatuan ini tidak lagi dilihat bergerak setempat bahkan menyelinap di setiap penjuru institusi pengajian.

Malam Muhasabah RK&HK PLPDT

0 ulasan
Kepimpinan yang berteraskan kepada konsep saling menegur dan menerima teguran adalah dituntut di dalam Islam. Sikap menegur perlulah dibudayakan oleh semua pihak dalam memperbaiki setiap perjalanan sesebuah organisasi dan jamaah.

RK&HK meneruskan lagi aktiviti dengan sebuah slot muhasabah. Terdahulu, pimpinan PLPDT memberikan penerangan berhubung objektif dan misi PLPDT dan ta'aruf ringkas exco.

Antara perkara yang dibangkitkan peserta ialah statistik penyertaan guru-guru MDT yang kurang ramai. Perkara ini dijelaskan oleh PLPDT dengan tugasan yang lebih mustahak daripada pihak guru untuk hadir. Namun PLPDT akan terus mengusahakan agar penyertaan guru-guru MDT dapat ditingkatkan lagi di masa akan datang, di samping itu juga menggiatkan lagi usaha untuk mendapatkan sponsor untuk meringankan penyertaan guru ke program PLPDT.

Selasa, 2 Mac 2010

Keindahan Tasik Seindah Ukhuwwah

0 ulasan
Di kalangan sejumlah besar peserta RK&HK, bermandi-manda di tasik dan menikmati kedinginan air adalah aktiviti wajib bagi sesiapa jua yang menyertai rehlah ini.

Melihat kepada sambutan yang diberi oleh peserta dalam kebanyakan aktiviti yang diadakan, PLPDT sememangnya mengharapkan hasil pulangan yang terbaik dan bermanfaat untuk peserta. Justeru antara aktiviti yang diadakan ini adalah berbentuk santai dan bermandi-manda menikmati keindahan ciptaan Allah.

Keindahan tasik di Lata Belatan bukan hanya untuk sedap mata memandang, bahkan ianya muhasabah kepada kesemua ahli yang terlibat, bermula dari pimpinan atasan hinggalah kepada ahli bawahan.

Kedamaian ini perlulah diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan bagi setiap lepasan pelajar Darul Taqwa. Konsep ukhuwwah ini tidak ubah sebagaimana ketenangan tasik yang menjadi tarikan kepada setiap peserta. Namun yang lebih dari itu perlulah difirkan agar setiap ahli dapat memanfaatkan masa ini dengan sewajarnya.

*(Gambar) peserta RK&HK bermandi-manda

Solat Tahajjud Mengisi RK&HK

0 ulasan
Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) membawa hasrat untuk menjadikan RK&HK ini sebagai institusi tarbiyyah dan memupuk muafakat gandingan berjamaah bagi setiap ahli dan peserta.

Dalam kesunyian malam dan kesejukan hutan Lata Belatan, pastinya merupakan saat paling indah untuk merehatkan badan dan memejamkan mata. Namun bagi peserta, kesunyian dan kesejukan bukanlah penghalang untuk bangun mengerjakan ibadah solat tahajjud yang dirancangkan di dalam RK&HK.

Program bercorak kesoronokan ini tidak mengabaikan aspek ubudiyyah setiap peserta, ia merangkumi segala keperluan kehidupan dalam misi menuju keredhaan Allah s.w.t.

Selain itu, kuliah subuh juga turut disampaikan sebagai penerus mengulit dendangan malam bersama alunan ibadah dan menjadi saksi kepada alam bahawa kemunculan peserta RK&HK bukan sekadar retorik.

* (Gambar) Peserta RK&HK khusyuk mengerjakan solat tahajjud

RK&HK PLPDT Capai Sasaran

0 ulasan
Program Rehlah Kepimpinan & Hari Keluarga (RK&HK) telah berjaya diadakan di Lata Belatan pada 19 & 20 Februari lalu.

PLPDT, melalui kerjasama daripada seluruh ahli berjaya mengumpul lebih 60 peserta yang terdiri daripada muslimin dan muslimat.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, antara kejayaan yang menyumbang kepada penyertaan ramai ini adalah promosi berterusan daripada jawatankuasa dan sahabat-sahabat dari pelbagai tempat.

Selain itu kutipan derma juga dilakukan untuk menampung sedikit-sebanyak pembiayaan program ini. Walaupun tarikh penetapan program ini berlaku beberapa kali perubahan, namun ahli PLPDT tetap memberikan kerjasama dan bersabar dengan sedikit kelemahan yang ada.

Bermula jam 2.30 petang (Jumaat), ahli PLPDT telah membanjiri perkarangan Madrasah Darul Taqwa yang merupakan lokasi berkumpul sebelum bertolak ke Lata Belatan.

Rata-rata ahli PLPDT bersemangat untuk mengikuti RK&HK sebagai kenangan untuk tahun baru 2010, kesanggupan untuk menyertai program ini adalah hadiah paling bermakna dalam memngangkat martabat ukhuwwah Islamiah dalam konteks hidup berjamaah.

*Gambar - Abd Rahman Awang selaku Pengarah RK&HK menyampaikan taklimat sebelum berangkat ke Lata Belatan


 

@PLPDT 2009/2010 | Semua Hakcipta Adalah Terpelihara | Dikelolakan Oleh Editorial Blog Dengan Kerjasama Urusetia Penerangan PLPDT